Kamis, 24 September 2009

SEKILAS MENGENAI ILMU NASAB DAN KEDUDUKANNYA DALAM SYARIAH ISLAMIYAH

Syed Seggaf Ali Al-Kaff, Madinah
Berfirman Allah Ta'ala di dalam Al-Qur'an: "Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu beberapa bangsa dan suku-suku bangsa, supaya kamu mengenal satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa".
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, bersabda Rasulullah s.a.w.: "Manusia ibarat logam, orang-orang baik di zaman jahiliah adalah orang-orang baik pula di zaman Islam jika mereka berpengetahuan, manusia mengikuti Quraish dalam perkara ini; yang muslim mengikuti muslim Quraish dan yang kafir mengikuti kafir Quraish, kamu akan dapati orang yang paling baik ialah orang yang sangat membenci perkara ini (kekufuran) sehingga ia selamat dari terjerumus kedalamnya". (Muttafaqun Alaih menurut lafaz Muslim dalam keutamaan sahabat).
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, bersabda Rasulullah s.a.w.: "Pelajarilah olehmu tentang nasab-nasab kamu agar dapat terjalin dengannya tali persaudaraan kamu. Sesungguhnya menjalin tali persaudaraan itu aka membawa kecintaan terhadap keluarga, menambah harta, memanjangkan umur dan merelakan Allah". Diriwayatkan oleh Ahmad dalam musnadnya, Tirmizi dan Al-Hakim
Dengan itu jelaslah bahawa ilmu nasab adalah suatu ilmu yang agung, berhubungkait dengan hukum-hukum syarak yang termasuk dalam hukum yang lima. Oleh itu Allah memberi panduan kepada kita dengan firmanNya di dalam kitab suci Al-Qur'an: "Dan kami jadikan kamu, beberapa bangsa dan suku-suku bangsa, supaya kamu kenla mengenal satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa".
Orang yang mengingkari keutamaan ilmu ini adalah orang jahil, pembangkang dan menentang Allah dan RasulNya. Mereka meriwayatkan sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w. yang maudhu' (palsu), katanya: "Bahawa mengetahui ilmu nasab itu tidak memberi manfaat dan tidak mengetahuinya pun tidak membawa mudarat". Dengan memalsu hadis ini sesungguhnya mereka telah menghukum diri mereka sendiri, iaitu mereka menempah tempat tinggal mereka di dalam neraka jahanam, dengan mengira bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang baik. Sungguh syaitan telah memperdaya mereka dengan menghiasi amalan mereka.
Bahagian Pertama - Kedudukan Ilmu Nasab Yang Penting Diketahui Dalam Syariah Islamiah
1. Mengetahui nasab Rasulullah s.a.w. yang mana Nabi s.a.w. bersabda dalam hal ini katanya: "Aku adalah Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdi Manaf Bin Qusai Bin Kilab (nama sebenarnya Hakim) Bin Murrah Bin Ka'ab Bin Luay Bin Ghalib Bin Fihr (Quraish) Bin Malik (Bin An-Nadhr) Bin Kinanah Bin Khuzaimah Bin Mudrikah Bin Ilyas Bin Mudhar Bin Nizar Bin Ma'ah Bin Adnan". Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Abdullah Bin Abas.
Siapa yang meragukan nasab Rasulullah, apakah baginda orang Quraish, Yaman atau Ajam (bukan Arab) maka ia kafir dan tidak diampuni, melainkan jika ia jahil maka wajib baginya belajar.
Dari Saad, katanya: Ketika aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w., siapakah aku ini ya Rasulullah? Baginda menjawab: "Kamu Saad Bin Malik Bin Wuhaib Bin Abdi Manaf Bin Zuhrah, siapa mengatakan selain daripada itu, maka baginya kutukan Allah". Diriwayatkan oleh Al-Hakim.
Dari Amr Bin Murrah Al-Juhni r.a. katanya: Pada suatu hari aku berada di sisi Rasulullah s.a.w. kemudian baginda bersabda: "Siapa berasal dari keturunan Maad hendaklah berdiri", maka aku berdiri tetapi baginda menyuruhku duduk sehingga tiga kali. Lalu aku bertanya, dari keturunan siapa kami ya Rasulullah? Dijawab: "Kamu dari keturunan Qudha'ah Bin Malik Bin Humair Bin Saba". Diriwayatkan oleh Khalifah Bin Khayyat.
2. Mengetahui asal keturunan para Imam (pemimpin) seperti dinyatakan oleh Ibnu Hazm, "Seseorang wajib mengetahui bahawa Khilafah tidak boleh dipegang melainkan oleh keturunan Fihr Bin Malik Bin An-Nadhr Bin Kinanah dan tidak akan diketahui melainkan dengan mengenali ilmu nasab. Oleh itu mengetahui ilmu nasab menjadi suatu kewajipan secara umum dalam konteks ini".
3. Saling mengenal di antara satu sama lain sehingga seseorang tidak dinasabkan kepada selain ayahnya atau datuknya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. dalam riwayat Bukhari yang mana bunyinya: "Seseorang yang mengaku orang lain sebagai ayahnya padahal ia mengetahui maka ia telah berbuat kekufuran, dan siapa mengaku kepada nasab bukan nasabnya maka hendaknya ia menempah tempat tinggalnya di dalam neraka".
Beberapa perkara yang berkaitan dengan hal di atas ialah:
A. Mengetahui hukum-hukum pusaka, yang mana sebahagian waris boleh melindungi sebahagian waris yang lain.
B. Hukum para wali dalam nikah, yang mana sebahagian wali diutamakan dari wali yang lain.
C. Hukum wakaf, jika orang yang mewakafkan itu mengkhaskan kepada sebahagian keluarga atau kerabat dan tidak kepada sebahagian yang lain.
4. Mengambilkira nasab dalam kafaah suami terhadap isteri dalam nikah menurut Abu Hanifah, Ahmad dan Syafi'e kerana sabda Rasulullah s.a.w., dari Siti Aisyah r.a. dalam keadaan Marfuk: "Pilihlah tempat untuk menyimpan air mani kamu dan kahwinlah orang-orang yang setaraf serta kahwinkan wanita-wanita itu dengan mereka". Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Daraqutni, Al-Hakim dan Al-Baihaqi.
Dan dari Anas r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda: "Berkahwinlah kamu dengan keluarga yang baik kerana sesungguhnya urat itu meresap", disebutkan oleh Ibnu Adi dalam kitab Al-Kamil.
5. Memperhatikan nasab wanita yang akan dinikahi, sabda Nabi s.a.w.: "Wanita itu boleh dinikahi dengan empat sebab; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka utamakan yang memiliki agama nescaya kamu akan beruntung". Diriwayatkan oleh Syaikhan dan Ahmad dalam musnad. Adapun yang dimaksudkan dengan keturunan ialah berasal dari keturunan yang mulia dan hal itu tidak boleh dicapai melainkan dengan mengetahui nasab.

6. Mengetahui nama-nama isteri nabi yang mana diharamkan kepada seluruh orang Islam mengahwini mereka, begitu juga mengetahui nama-nama sahabat besar dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan mengetahui orang-orang yang berhak menerima khumus (seperlima) dari kalangan kerabat Rasul serta mengetahui orang-orang yang diharamkan kepada mereka sedekah dari keluarga Muhammad yang mana Ibnu Hazm menganggap perkara-perkara di atas sebagai fardhu kifayah.
Kemudian para ulama telah menyusun nasab-nasab seperti yang diceritakan oleh Az-Zamakhsyari katanya: Nasab itu terbahagi kepada enam peringkat, pertama dinamakan sya'b yakni puak, kedua kabilah, ketiga imarah yakni suku, keempat batn yakni perut, kelima fakhiz yakni keluarga dan yang keenam fasilah yakni kaum kerabat. Mithalnya kata beliau, puak Khuzaimah, kabilah Kinanah, suku Quraish, kelompok Qusai, keluarga Hashim dan kaum kerabat Abu Talib.
Berkata Amirul Mukminin Sayidina Omar Bin Al-Khatab r.a.: "Pelajarilah nasab kamu supaya kamu dapat menjalin tali kekeluargaan diantara kamu, dan janganlah menjadi seperti kaum Nabat hitam yang jika ditanya salah seorang dari mereka: Dari keturunan siapa kamu? Lalu mereka menjawab: Kami dari kampung itu." Maka demi Allah kiranya ada berlaku sesuatu antara seseorang dengan saudaranya, andainya ia tahu hubungannya dengan saudaranya itu dari hubungan kerabat nescaya hal ini akan menghalangnya dari mencerobohnya.
Sebagaimana orang-orang Arab yang memberi penghormatan terhadap nasab-nasab mereka maka demikian juga seluruh bangsa Ajam (selain Arab) memberi perhatian terhadap nasab-nasab mereka dan perkara ini diambilkira dalam syariat Islam dengan syarat tidak menimbulkan asabiyah atau perkauman dan menimbulkan serewan jahiliah kerana Islam melarang asabiyah jahiliah seperti dinyatakan dalam sabda Nabi s.a.w.: "Tinggalkan ia (asabiyah) kerana ia busuk". Kata-kata baginda diucapkan ketika dua kelompok Aus dan Khazraj sedang bertikai sehingga berkata satu kelompok, "Mari kita pertahankan Aus" dan berkata yang lain, "Mari kita pertahankan Khazraj".
Bahagian Kedua - Usaha Orang-Orang Orientalis Dalam Melenyapkan Ilmu Nasab
Manakala paderi-paderi Nasrani menanggalkan pakaian kepalsuan mereka dengan mengenakan pakaian ilmu yang diperoleh dari orientalisme maka sebenarnya mereka telah meruntuhkan syariat Islam dengan cara meragukan dan membisikkan kepada tali barut mereka dari kalangan bangsa kita dalam perkara nisbah (keturunan) dan kepada mereka yang telah terpengaruh dengan adat istiadat mereka dalam segi akidahnya supaya mereka membantunya dalam meruntuhkan sendi-sendi Islam, ajaran-ajaran dan akhlaknya. Dan mereka datang dari segenap penjuru dengan anggapan bahawa cara itu akan memastikan matlamat mereka tercapai dengan memusuhi Islam serta mereka menginginkan supaya cahaya Allah itu dipadamkan dengan mulut-mulut mereka namun Allah tetap mahu menyempurnakan cahayanya.
Diantara perkara yang hendak mereka hancurkan ialah ilmu nasab yang ada pada orang-orang Islam dan Arab. Mereka itu terdiri daripada orientalis Jerman bernama Westernfield, pengaran buku 'Aliran Tasawuf Di Selatan Negeri-Negeri Arab Pada Aabad Ke-12' dan diikuti oleh orientalis Inggeris bernama R.B. Sargent. Mereka dalam kempennya menggunakan kaedah Ibnu Khaldun dalam perkara nasab yang bertujuan mencerca nasab Bani Alawi secara khusus dan seruan ini datang jauh sebelum Tantawi yang kemudian dibantah oleh Al-Allamah pakar nasab Syed Abdullah Bin Hassan Bilfagih dalam kitabnya 'As-Syawahid Al-Jaliyah An Mada Al-Khalf Fil Qaedah Al-Khalduniyah' dimana beliau telah berjaya mengembalikan tipu daya mereka ke atas diri mereka dan dengan itu gagallah seruan mereka. Firman Allah: "Adapun buih itu hilanglah sebagai barang yang tiada berharga dan apa yang berguna kepada manusia tinggal tetap di muka bumi". (Surah Ar-Ra'd:17).
Bahagian Ketiga - Ilmu Nasab Dalam Pandangan Ilmu Moden
Ilmu moden sangat mementingkan ilmu warisan dengan menghasilkan beberapa penemuan bahawa keturunan itu berbeza antara satu dengan yang lain dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan yang diwarisi dan itu sesuai dengan sabda Nabi s.a.w., dari Abu Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Manusia bagaikan logam, yang baik di zaman Jahiliah baik pula di zaman Islam jika mereka memiliki pengetahuan. Manusia mengikuti orang-orang Quraish dalam hal ini, yang muslim mengikuti si muslim dan yang kafir mengikuti si kafir. Engkau akan dapati orang yang paling baik adalah orang yang sangat benci perkara ini sehingga ia terjatuh kedalamnya." Muttafaqun Alaih, menurut lafaz Muslim dalam keutamaan sahabat.
Maka terbuktilah bahawa setiap keturunan dari keturunan-keturunan yang ada di alam hidup ini memiliki kelebihan-kelebihan yang diwarisi dan dengannya ia memperoleh keistimewaan sama ada alam yang hidup itu berupa tumbuh-tumbuhan, air, haiwan atau manusia, maka masing-masing keturunan membawa sifat-sifat ayahnya. Siapa berasal dair ayah yang mulia maka pasti ia akan mewarisi sifat-sifat ayahnya itu dan sebaliknya orang yang berasal dari ayah yang memiliki sifat-sifat yang hina dan penyakit jasmani, saraf dan jiwa maka ia akan menurun kepada keturunannya. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. menganjurkan dalam sabdanya: "Pilihlah tempat untuk menyimpan air manimu, kahwinilah wanita-wanita yang setaraf denganmu dan kahwinkan wanita-wanita itu kepada mereka". Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Daraqutni, Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dari Ummul Mukminin Aisyah r.a. marfuk.
Dan hadis riwayat Anas r.a.: "Berkahwinlah kamu dengan keluarga yang baik kerana sesungguhnya urat itu meresap". Diriwayatkan oleh Ibnu Adi dalam kitab Al-Kamil.
Maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya tidak meletakkan air mani kita melainkan di rahim-rahim yang berasal dari keturunan yang mulia, baik dan dari sumber yang baik sehingga anak cucu dan zuriat kita terhindar dari kekotoran dan suci dari segala kenistaan. Ini tidak akan dapat diketahui melainkan dengan ilmu nasab. Maka kenyataan yang kita lihat pada hari ini di Eropah dimana perbuatan keji itu telah bermahrajalela, nasab bercampur-aduk dan masyarakat Eropah terjerumus didalam jurang yang rendah maka tersebarlah di sana penyakit-penyakit kelamin, jiwa dan saraf. Oleh kerana sifat dendam yang ada dalam diri mereka lalu mereka membawa masuk perbuatan keji itu ke dalam dunia Islam sehingga mereka dapat menghancurkan nasab-nasab penduduknya dan akhirnya mereka menjadikan dunia Islam terputus hubungan dengan asal usulnya. Disaat itu mereka merempuh masuk dikala umat Islam telah meninggalkan semua ajaran-ajaran yang lurus. Dan hanya Allah sebagai pelindung kita dari segala kejahatan mereka dan Allah yang menggagalkan tiu daya mereka. Firman Allah: "Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka namun Allah menolak (dan tidak rela) melainkan menyempurnakan cahayaNya". Maha benar Allah yang Maha Agung.
Kami memohon kepada Allah supaya menjadikan usaha ini semata-mata kerana Allah dan demi mempertahankan satu sendi dari sendi-sendi agama Islam serta memelihara kesucian itrah Ahlul Bait Nabi yang mulia yang mana orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya ingin merendahkan kesuciannya. Ya Allah seandainya ini benar maka itu daripadaMu dan jika salah maka itu dari diriku dan dari syaitan. Dan kami sudahi seruan kami dengan: "Subhana Rabbika Rabbil Izzati Amma Yasifun Wasalamun Alal Mursalin Walhamdulillahi Rabbil Alamin".
Sekian.
Tambahan mengenai Keluarga-Keluarga Bani Alawi Yang Tersusun Dengan Huruf Abjad
Demi kesempurnaan pembahasan ini saya ingin menambahkan satu senarai yang merangkumi nama-nama keluarga Bani Alawi Bin Ubaidillah Bin Ahmad Bin Isa yang menetap di Hadramaut dan orang-orang yang berhijrah ke jazirah Arab, timur Afrika, Asia Tenggara dan India yang mana keluarga-keluarga itu berkisar pada dua tokoh; Tokoh pertama: Al-Faqih Al-Muqaddam Muhammad Bin Ali Ba'Alawi dan tokoh kedua: Bapa saudara Al-Faqih Alawi Bin Muhammad Ba'Alawi. Akan kami sebutkan dalam senarai nanti setiap keluarga yang dikaitkan dengan salah seorang daripada kedua tokoh di atas dan bagi mereka yang menghendakki tambahan yang lebih luas untuk mengetahui susur-galur nasab, tempat tinggal mereka dan sebab-sebab gelaran yang mereka gunakan hendaknya ia merujuk pada kitab Syamsul Dzahirah yang sudah dicetak, karangan Al-Allamah Abdul Rahman Bin Muhammad Bin Husain Al-Masyhur dengan komentar dari Al-Ustaz Dhiya' Bin Muhammad Bin Shahabuddin, dan Al-Mu'jam Al-Latif karangan Al-Ustaz Muhammad Bin Ahmad As-Syatiri.
Wallahu Ta'ala A'alam

Tidak ada komentar: