Rabu, 07 Oktober 2009

HAID DAN HUKUMNYA

Haid dan Hukumnya

Haid menurut bahasa ialah 'ASSAILAA' yang bermaksud ' mengalir'. Haid menurut syariah ialah Darah yang keluar dari ujung rahim perempuan pada keadaan sehat pada waktu tertentu.

Dalil mengenai haid ini terdapat dalam Al Quran dengan firman Allah yang bermaksud :

Mereka bertanya kepadamu (Hai Muhammad) tentang haid. Katakanlah haid itu adalah satu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid, dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. (Surah Al Baqarah: 222)

Rasulullah SWT. bersabda dengan maksud:

Inilah (haid) sesuatu yang telah disuratkan Allah atas anak-anak perempuan Adam.(HR: Bukhari dan Muslim dari Aisyah).

Umur wanita yang datang haid ialah sekitar 9 tahun Qamariah (Hijrah). Jika seorang perempuan melihat darah sebelum usia 9 tahun dan lamanya darah yang keluar itu tidak melebihi dari 15 hari dan masa sucinya 15 hari (umur 8 tahun 11 bulan 15 hari atau lebih) maka darah yang dilihatnya tadi ialah darah haid. Berbeda jika darah yang keluar itu dalam masa sucinya 16 hari atau lebih sedangkan usianya belum mencapai 9 tahun, (8 tahun 11 bulan 14 hari atau kurang), maka darah yang keluar itu adalah darah fasik (penyakit) bukan darah haid.

Contoh Masalah

· Aminah melihat darah mengalir dari farajnya semasa berumur 8 tahun 11 bulan 10 hari. Darah yang dilihatnya dihukumkan darah fasik kerana jangka masa sucinya melebihi 15 hari iaitu 20 hari.

· Faridah melihat darah mengalir dari farajnya semasa beliau berumur 8 tahun 11 bulan 25 hari. Darah yang dilihatnya ialah darah haid kerana jangka masa sucinya tidak melebihi 15 hari iaitu 5 hari saja.

Sekurang-kurangnya masa haid ialah selama sehari semalam yang bersambung terus-menerus selama dua puluh empat jam. Apa yang dimaksud dengan bersambung ialah seperti kenyataan berikut:

Jika kapas dimasukkan ke dalam faraj (vagina) nescaya nampak berlumuran dengan darah, walaupun darah itu tidak keluar ke batas yang wajib dibersihkan sewaktu beristinja (menghilangkan barang di atas faraj dengan air atau lainnya). Dan sesungguhnya darah yang keluar sehari semalam itu tidak putus-putus selama 24 jam. Inilah waktu haid yang terpendek. Jika darah yang keluar terputus-putus, maka akan terjadi dua keadaan

· Waktu keluar darah yang terputus tadi kalau dijumlahkan waktunya sehari semalam atau

· tidak sampai sehari semalam perhitungannya.

Kerana itu jika sampai darah yang terputus-putus itu sehari semalam seperti seorang perempuan melihat

· hari pertamanya darah keluar selama 2 jam lalu berhenti,

· kemudian pada hari keduanya 3 jam dan berhenti,

· dan begitulah seterusnya dalam beberapa hari kemudiannya (dalam masa 15 hari atau kurang),

· maka jika dikumpulkan darah itu niscaya cukup 24 jam maka sudah tentu darah yang keluar itu ialah darah haid yang terpendek iaitu sehari semalam.

Ini adalah kerana bahawa naqa' (suci) yang berselang-seling tadi termasuk waktu haid juga. Dan jika tidak sampai jumlah perhimpunan waktu darah keluar itu sehari semalam, maka yang demikian bukanlah darah haid.

Peringatan;

Perempuan yang meninggalkan sembahyangnya dalam masa naqa' di mana masa datang haidnya terputus-putus maka wajib di atasnya mengqadakan sembahyangnya selama waktu yang ditinggalkan .

Adalah selama-lamanya waktu haid itu lima belas hari sekalipun tidak bersambung terus. Adapun waktu yang gholib(normal) ialah enam hari atau tujuh hari. Batas waktu yang diterangkan di atas adalah hasil dari penelitian Imam Syafi'i.

Sekurang masa suci antara dua masa haid ialah selama lima belas hari kerana dalam sebulan kebiasaanya tidak terlepas ada waktu haid dan suci. Kalau waktu terpanjang haid itu lima belas hari maka sekurang-kurangnya masa suci juga ialah lima belas hari. Dikeluarkan(tidak termasuk) dari apa yang dikatakan antara dua haid iaitu; suci antara masa haid dan nifas. Maka harus(mungkin) bahawa masa suci itu kurang dari lima belas hari, baik haid lebih dahulu dari nifas atau nifas lebih dahulu dari haid.

· Bentuk haid lebih dahulu dari nifas ialah seperti perempuan yang hamil melihat darah keluar selama sehari semalam atau lebih, lalu melahirkan anak satu jam sesudah putus darahnya. Maka darah yang dilihatnya dahulu dari melahirkan anak itu adalah darah haid dan yang keluar sesudah melahirkan adalah darah nifas.Keadan inilah rupa masalah masa suci antara haid dan nifas adalah selamat satu saat sahaja.

· Bentuk haid kemudian dari nifas ialah seperti putus darah nifas sesudah enam puluh hari. Setelah berlalu satu saat dari putus darah nifasnya maka keluar lagi darah selama sehari semalam atau lebih. Darah yang keluar tadi adalah darah haid dan masa suci antara haid dan nifas adalah satu saat jua.

Kalau darah nifas berhenti keluar sesudah enam puluh hari kemudian keluar lagi darah selama sehari semalam atau lebih sebelum genap enam puluh hari, maka darah yang keluar adalah darah nifas, bukan darah haid terkecuali jika keluar sesudah lima belas hari maka terhitung darah haid.

Tidak ada batas masa suci yang terpanjang kerana ada perempuan mungkin tidak pernah haid kecuali hanya sekali dalam seumur hidup atau tidak pernah haid sama sekali. Namun kebiasaannya masa suci ialah baki (sisa) dari sebulan sesudah masa haid yang Gholib(kebiasaan).

Dalam huraian terdahulu diterangkan masa haid yang biasa adalah enam hari atau tujuh hari, maka bererti masa sucinya dua puluh empat hari atau dua puluh tiga hari jika bulan itu genap tiga puluh hari. Dan kalau bulan itu hanya dua puluh sembilan hari bererti masa sucinya 23 hari atau 22 hari.

Jika seorang perempuan yang sudah menjadi kebiasaannya seperti bahawa masa haidnya kurang dari masa yang terpendek atau lebih panjang dari masa yang terpanjang seperti yang disebutkan di atas, tiadalah diikuti akannya kerana menyalahi dari hasil penelitian Iman Syafi'i dan para ulama kerana kajian dan pemeriksaan mereka lebih sempurna. Darah yang keluar tadi ditanggung (dihukumkan) sebagai darah fasik (penyakit) kerana menyalahi dari hasil penelitian mereka.

Perkara Yang Ditegahkan(Haram) Semasa Haid

Diharamkan bagi yang haid dan nifas segala yang diharamkan bagi orang yang junub seperti;

· sembahyang,

· tawaf,

· sujud tilawah,

· sujud syukur,

· khutbah jumaat,

· menyentuh Al Quran yang diqashadkan Al Quran.

Dan diharamkan pula selain dari yang disebutkan tadi lima perkara lagi.

1. Melintasi dalam masjid jika ditakutkan darah akan terjatuh ke lantai demi memelihara kesucian masjid dari najis. Dan jika tidak takut terjatuh maka tidak diharamkan melintasi dalam masjid tetapi ianya hanya makruh. Orang yang haid hal keadaannya samalah seperti orang yang ada pada pakaiannya atau badannya atau sandalnya yang dibawanya ada najis yang basah, maka haram baginya melintasi masjid. Tetapi kalau tidak ditakutkan darahnya jatuh tidaklah haram dan tidak pula makruh. Ini lah perbezaan orang yang menanggung najis dengan perempuan yang haid kerana ainnya sudah najis dan bukan 'ahli ibadat' sepanjang ia ada haid.

2. Mandi atau tayamum kerana mengangkat hadas atau kerana ingin melakukan ibadah diharamkan kerana haid dan nifas, terkecuali mandi sunat dalam melaksananakan ibadah haji maka iaitu sunat pada ketika itu.

3. Puasa iaitu haram kerana haid dan nifas dan lagi tidak sah menurut ijmak kerana Nabi SWT. ada bersabda:

"Tiadakah apabila perempuan haid tidak boleh sembahyang dan tidaklah boleh berpuasa". (HR. Bukhari dan Muslim dari Abi Said)

Tetapi baginya wajib mengqadha puasa. Namun sembahyang tidak wajib diqadhakan seperti yang diterangkan dalam hadis yang berbunyi:

" Kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha sembahyang". (HR> Muslim dari Aisyah)

Ini ada kerana jumlah sembahyang cukup banyak sehingga merasa sulit dan berat mengqadhakannya berbeza dengan puasa. Persoalan yang timbul ialah apabila tidak wajib mengqadha sembahyang apakah sunat atau makruh atau haram mengqadhakannya? Dalam hal ini para ulama berbeza pemdapat. Sebahagian ulama mutaqaddimin seperti Ibnu Saba'gh dan Ruyani dan Ibnu Ajil mengatakan makruh mengqadhanya. Pendapat ini dikuatkan oleh Sheikh Al-Islam dan Syeikh Ramli. Kata Baidhowi haram mengqadakan di atasnya dan menetapkan hukum haram ini oleh Ibn A-Sholah dan Imam Nawawi dan menjadi pegangan Sheikh Jalalu Mahali dan merojihkan akan haram ini oleh Sheikh Ibni Hajar.

Apabila adalah hukum mengqadhakan sembahyang tadi dikatakan haram atau makruh apakah sah sembahyangnya atau tidak? Maka yang dianggap kuat oleh Syekh Khatib Syurbaini di dalam kitabnya yang bernama "Mugni" dan Sheikh Ibni Hajar dalam kitabnya "Tuhfah" bahawa sembahayang tidak sah. Namun yang dianggap kuat menurut Syekh Ramli di dalam kitabnya "Nihayah" sembahyangnya dianggap sah.

4. Menyentuh antara pusat dan lutut tanpa lapik sekalipun tidak dengan syahwat, baik yang menyentuh dengan tangan, kaki, zakar dan lainnya, baik yang menyentuh zakar tanpa melakukan 'woti'(persetubuhan) dan tidak berlapik atau sekalipun dengan 'woti' dan berlapik. Maka semua itu diharamkan bagi yang haid dan nifas. Sebahagian ulama berkata tidak haram menyentuh antara pusat dan lutut selain dari 'woti'. Ada pun melakukan persetubuhan dengan perempuan yang haid sedang darah haidnya masih keluar termasuk ianya dalam perbuatan dosa besar, kalau ia tahu tentang haramnya dan dengan sengaja dan kalau menghalalkannya jadi kafirlah ia. Adapun ada ulama yang berpegang kepada halal melakukan persetubuhan kemudian daripada putus darahnya dan sebelum mandi lagi seperti kuning dan keruh, tidaklah menyebabkan ia kafir seperti yang tersebut dalam kitab "Anwar" dan kitab lainnya bahawa dalam masalah ini para ulama berbeza pendapat (khilaf).

5. Haram suami menalak isterinya pada saat haid dengan syarat yang akan diterangkan pada tempatnya, yakni haram disebabkan haid dan nifas kerana akan hasil mudhorat(merugikan) bagi perempuan itu disebabkan panjang idahnya kerana pada masa haid dan nifas tidak dihitung dalam masa idah.

Apabila darah haid dan nifas telah berhenti maka halallah baginya mandi untuk mengangkat hadas atau tayamum. Dan tidak halal sebelum mandi dan tayamum semua yang diharamkan melainkan dua perkara berikut;

· puasa kerana hilang sebab haramnya(meninggalkan puasa) adalah khusus bagi haid dan sebab haramnya bukan umum dengan dalil tidak haram puasa bagi orang yang junub. Kerana kalau sebab haramnya itu umum nescaya haramlah puasa bagi orang yang junub.

· Talak kerana hilang ilat(sebab) haramnya iaitu menyebabkan idahnya panjang.

Adapun yang lain dari puasa dan talak tetap diharamkan melainkan sesudah mandi atau bertayamum.

Tidak ada komentar: